Friday, 18 August 2017

Cita dan Harapan

*penulisan ini ditulis di telefon genggam ketikamana aku sedang dalam perjalan ke KL Sentral menggunakan LRT laluan Kelana Jaya*

Ogos merupakan bulan ke-enam belas semenjak mana aku memulakan kerjaya setelah saja bergelar graduan ijazah sarjana muda. Sudah menjadi cita-cita, ingin saja aku meneruskan pembelajaran di peringkat sarjana. Saban hari aku berangan-angan ingin mentelaah dengan lebih mendalam sebuah bahasa asing, berdiskusi secara intelek dengan para asatizah dan sahabat sejihad. Adanya seorang sahabat baikku, membincangkan dengan lebih dalam tentang penggunaan vokal /æ/ dan /a/ dari segi phonetics dalam kalangan Melayu Portugis Melaka untuk thesis sarjananya. Malah, thesis tersebut terhasil setebal sebuah kamus dewan. Dibentangkan pula hasil kajian di Sweden di depan para pencinta ilmu. Nah, siapa bilang bahasa penjajah ini hanya bisa menulis sebuah karangan? Kamu orang silap besar!

Sebesar mana hasrat, ada sahaja yang menjadi halangan. Paling utama, kekangan kewangan. Dalam usia beberapa bulan pekerjaan, aku memulakan kedewasaan dengan sebuah pinjaman bank 'hire purchase'. Telah aku ganti kereta Iswaraku yang paling berjasa dengan sebuah kereta baru. Tahun ini pula, aku baru sahaja usai mendatangani perjanji jual beli untuk seunit rumah dua tingkat. Aduh, mungkinkah keinginan mengumpul aset lebih dari mengumpul ilmu? Kernanya aku fikir, sampai bila sahaja aku mampu bekerja untuk membayar hutang piutang, baik mula dari muda. Sedangkan ilmu, walau aku tahu lebih peritnya mental, masih boleh dilakukan walau usia mulai lanjut.

Biarpun sudah mula mengumpul harta di usia 25, aku masih cemburu dengan rakan-rakan yang sudahpun selesai sarjana mereka. Ada juga yang terus ke peringkat kedoktoran. Ah, cemburunya!

Moga cita dan harapan ini takkan terkubur, malah bisa terus menjadi nyata insyaAllah suatu hari nanti.

1 comment: